Friday, October 18, 2013

Husnuzon

Husnuzon bermaksud bersangka baik kepada orang lain. Menganggap baik sesuatu perkara itu sangat dituntut dalam Islam kerana bersangka baik itu lebih baik, mulia dan dapat mengelakkan dari menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan.

Saidina Umar bin Al-Khattab r.a.telah berkata : “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik.”

Orang yang bersangka buruk seolah memfitnah orang, kerana sangkaan buruknya itu tidak mempunyai bukti yang nyata dan kukuh. Ini dibimbangi terjadinya fitnah yang membawa kepada dosa besar, kerana Islam sangat melarang umatnya memfitnah orang lain.

Firman Allah سبحانه وتعالى :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengunjing sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Hujurat, 49; Ayat 12)
 .

Fadhilat Bersangka Baik
Bersangka baik juga mempunyai banyak kebaikan dan kelebihannya. Antaranya adalah:

1.      Mengelakkan manusia dan ummah daripada berpecah-belah antara satu sama lain yang akan merugikan masyarakat dan Negara bak kata pepatah ‘Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati’.

2.      Dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam dan mencegah perkara-perkara mungkar dari terus bersarang di hati kita,

3.      Selalu merasa bahagia atas kejayaan yang dicapai orang lain walaupun diri sendiri belum berjaya.

4.    Mewujudkan sikap ingin bersaing antara satu sama lain. Kerana umat Islam yang mempunyai sikap ingin bersaing dengan orang yang telah berjaya akan mendatangkan keuntungan kepada semua umat Islam termasuk dirinya sendiri.

5.    Hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas dari bersangka buruk terhadap, maka yang ada dalam hatinya adalah sangkaan yang baik-baik sahaja. Sudah pasti hatinya bertambah cinta pada saudaranya itu dan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia.

6.   Mengelakkan daripada penyesalan dalam hubungan manusia sesama manusia kerana menuduh manusia lain tanpa bukti yang kukuh. Firman Allah سبحانه وتعالى :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَٰدِمِينَ
“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara yang tidak diingini Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.” (Surah Al-Hujurat, 49; Ayat 6)
.
Berbaik Sangka Terhadap Perkara Dusta

Islam mewajibkan umatnya mencegah kemungkaran yang berlaku disekeliling dan persekitaran dengan kemampuan yang ada pada mereka. Andai kata kita melihat atau ternampak orang yang melakukan dosa dan kemaksiatan, tetapi masih bersikap husnuzon terhadap perlakuan mungkar itu, maka kita juga turut berkongsi saham dan tidak terlepas dari menanggung dosa kemaksiatan yang dilakukan oleh orang tersebut.

Rasulullah ﷺbersabda : “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mencegah dengan tangan (kekuasaan), jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika ia tidak mampu jua, maka dengan hatinya (berasa tidak senang, tidak setuju dan tidak meredhai). Dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Adalah jelas bahawa umat Islam tidak boleh beranggapan baik terhadap orang yang melakukan kemungkaran dan maksiat secara terang-terangan. kerana perkara tersebut jelas melanggar hukum dan larangan Allah. Contohnya apabila terlihat orang Islam bermain judi, atau membeli nombor ekor. Tetapi bersangka dalam hati, “Mungkin orang tersebut kesempitan wang… biarlah, dia juga nak cari rezeki…” Sepatutnya, kita haruslah mencegah kemungkaran itu, bukan meredhainya.

Firman Allah سبحانه وتعالى :
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا
“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang tidak kamu ketahui; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...